3 JANUARI 2009- Puteri UMNO Bahagian Pulai dengan usahasama Majlis Belia Daerah Johor Bahru dan Persatuan Ulama' Malaysia akan mengadakan 'Program Kembali Ke Sekolah' pada 3 Januari 2009 bertempat di Plaza Angsana , Johor Bahru. Program yang di rasmikan oleh Encik Rashid Kasman, Pengerusi Majlis Belia Daerah merangkap wakil rasmi Ketua Umno Bahagian Pulai. Program ini akan menghimpunkan lebih 40 anak-anak yatim di sekitar Parlimen Pulai yang akan menerima sumbangan berupa peralatan persekolahan.
Menurut Hirul Fahdiyah, Ketua Puteri Umno Bahagian Pulai, tujuan program ini diadakan bagi memperkenalkan serta memberi ruang kepada masyarakat mendekati aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh Puteri Umno Bahagian Pulai. Program pembuka tirai 2009 ini merupakan aktiviti pertama bagi barisan kepimpinan Puteri Pulai yang baru untuk merapatkan jurang sesama ahli sekaligus berinteraksi dengan masyarakat secara langsung. Lokasi pemilihan program yang dibuat di Angsana dapat menarik lebih banyak peserta terutamanya golongan wanita Melayu muda untuk mendekati Puteri Umno, di samping menambahkan keahlian serta memberi informasi terkini tentang aktiviti Puteri Umno yang berteraskan kepada kebajikan, pendidikan dan kesihatan.
Antara acara yang menarik yang dianjurkan oleh Puteri UMNO Pulai ialah, Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak yang berumur bawah 12 tahun, English On Wheels di mana kanak-kanak diajak untuk berbahasa Inggeris dalam bentuk lagu dan cerita. Di samping itu, melalui English On Wheels, kanak-kanak dapat belajar menyebut, mengulang dan mengeja perkataan dalam Bahasa Inggeris secara interaktif. Terdapat pelbagai Hadiah dan cenderahati akan diberikan sepanjang acara tersebut di jalankan. Selain itu, kaunter untuk menjadi ahli Puteri juga akan dibuka untuk remaja perempuan yang berusia 18 tahun ke atas.
Program- program seumpama ini merupakan suatu medium untuk Puteri UMNO Pulai berinteraksi dan mendekati masyarakat setempat di samping memberi sedikit sumbangan untuk pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik. Dalam usaha untuk membentuk generasi prihatin, Puteri UMNO Pulai berharap agar dapat berdamping dengan golongan-golongan cilik bakal peneraju kepimpinan negara melalui beberapa siri program berteras kebajikan yang telah dirancang sepanjang tahun 2009 ini.
No comments:
Post a Comment